Chef Pastri, Rukedi Yajid @ Aziz atau lebih mesra dengan
panggilan Chef KD ini cukup mesra orangnya. Walaupun baru pertama kali bersua
muka, keserasian begitu cepat terjalin. Bermacam-macam cerita mahu dikongsi
terutama tentang petua-petua menghasilkan resipi pastri yang enak-enak.
Kesempatan bertemu dengannya di Sunway Putra Hotel Kuala Lumpur
sewaktu sesi penggambaran resipi langsung mem buka peluang untuk menemu ramah
nya. Chef KD pula tiada masalah untuk memberikan sepenuh kerjasama. Setiap
persoalan yang diutara kan akan dijawab nya dengan penuh keikhlasan.
Lulusan Ijazah Seni Kulinari dari Universiti Teknologi Mara
(UiTM), Shah Alam ini tidak pernah terfi kir yang dirinya akan melangkah sejauh
ini. Cuma sewaktu kecilnya, dia cukup setia membantu ibunya di dapur.
Ibunya yang tinggal di Kelantan bekerja sebagai tukang jahit dan
sesekali mengambil tempahan biskut dari masyarakat setempat. Semua itu
dilakukan demi menam pung kehidupan keluarga yang serba sederhana.
Daripada situlah dirinya mula berjinak-jinak dalam dunia pastri
iaitu pembuatan kek dan biskut sehinggalah dirinya mampu meraih kecemerlangan
dalam kerjayanya pada hari ini. Sebaik sahaja tamat pengajian, dia diterima
bekerja di Renaissance Kota Bharu Hotel, Kelantan.
“Hampir lima tahun saya di sana. Waktu itu, impian untuk mencari
sesuatu dalam hidup sentiasa menebal dalam diri. Tapi hasrat itu terhalang
kerana keluarga lebih senang andai saya bekerja dekat dengan mereka di Kota
Bharu.
“Tapi dalam diam, saya minta juga kerja di Putrajaya Marriot
Hotel. Rupanya permohonan dalam diam itu telah diterima dan saya dipanggil
untuk mendaftarkan diri di sana.
“Dalam pada itu, saya menanamkan azam yang kuat dalam diri untuk
mencapai impian yang saya hajatkan. Dari Putrajaya saya melompat ke One World
Hotel dan akhirnya ke Sunway Putra Hotel Kuala Lumpur.
“Saya juga bermula dari bawah, mula-mula menjawat commis, demi
chef, chef de partie, senior chef de partie kemudian, pembantu pastri dan
akhirnya bergelar pastri chef dengan mempunyai 10 orang kaki tangan di bawah
saya,” ceritanya tentang sejarah kehidupan.
Bukan Jalan Cipta Nama
Kejayaan yang paling manis dalam kerjaya Chef KD pastinya menerusi hasil rekaan
penuh kreatif hiasan kek coklat langsung mengangkat dirinya sebagai ‘The Most
Creative Chocolate Cake’ dalam pertandingan Kejohanan Kek Coklat ke-5 yang
berlangsung di Great Eastern Mall baru-baru ini. Kek yang dihasilkan itu
dinamakan ‘Chocolate Cempedak Ecstacy’.
“Kalau diikutkan saya sebenarnya tidak mempunyai masa untuk
bersiap sedia dalam pertandingan tersebut. Saya hanya mempunyai tempoh dua
minggu untuk memikirkan kek coklat yang akan dipertandingkan. Sebab itulah
tumpuan amat penting sekali.
“Saya perlu banyak berimaginasi bagi menghasilkan karya terbaik.
Sememangnya kemenangan itu telah membuka jalan untuk saya mencipta nama dalam
industri ini. Dari situ juga saya tahu dimanakah kekuatan yang ada dalam diri
saya,” tambahnya yang turut mendaftarkan diri dalam Persatuan Chef Malaysia.
“Sebelum ini saya pernah menyertai pertandingan seumpamanya
tetapi saya sekadar menduduki tempat kedua. Getir untuk menerima hakikat itu,
namun saya tabahkan hati dan tetapkan sasaran yang saya pasti mampu meraih
pingat emas pada masa akan datang. Syukurlah apa yang disasarkan itu tercapai
juga,” tambah anak kelahiran Kelantan ini.
Dirinya sentiasa memasang impian untuk bertanding ke peringkat
yang lebih besar misalnya di luar negara. Pastinya apa yang dihajatkan itu akan
menjadi kenyataan andai mendapat sokongan pihak majikan. Dalam pada itu, Chef
KD sentiasa berusaha meningkatkan diri agar dirinya dapat menggenggam apa yang
dihajatkan itu.
Tidak Malu Bertanya
Menurutnya lagi, dalam pada menuntut ilmu agar mahir memasak, dirinya sentiasa
mengikut tunjuk ajar gurunya yang dinamakan Sifu George Cum. Melalui gurunya
itulah, Chef KD belajar tentang banyak perkara, bukan sahaja tentang dunia
masakan malah soal disiplin diri, perancangan, kemahiran dan pengurusan
kerjaya.
Chef KD tidak pernah malu bertanya ataupun belajar tentang suatu
ilmu baru. Baginya untuk berjaya sikap itulah yang perlu ada dalam diri.
Berpersatuan juga banyak membantunya untuk mengetahui perkembangan terkini
dunia pastri dan yang saling berkaitan. Pertemuan dengan chef-chef lain di
dalam persatuan membolehkan mereka saling berbincang dan bertukar pandangan.
“Sememangnya saya seorang yang kuat bekerja. Saya akan masuk
seawal 7 pagi dan hanya akan pulang pada jam 10 malam. Saya agak cerewet dan
teliti dalam setiap hasil kerja.
“Apabila kakitangan saya hasilkan sesuatu, saya akan pastikan
apa yang mereka buat itu menepati standard yang saya tetapkan. Adakah masakan
itu enak rasanya, cantik hiasannya dan sebagainya. Selagi belum puas hati,
selagi itulah saya akan minta mereka buat sampai menepati apa yang diinginkan,”
terangnya.
Dalam pengurusan di bahagian pula, katanya dia telah membahagikan
kakitangan kepada dua kumpulan iaitu kumpulan A dan B. Setiap kumpulan
mempunyai ketua yang akan melaporkan terus kepada dirinya.
“Ianya perlu dilakukan sedemikian agar perjalanan tugasan dapat
dilaksanakan dengan lancar,” luah pemuda berusia 34 tahun yang masih belum
mendirikan rumah tangga ini lagi.
Meskipun satu ketika dulu kerjaya di ibu kota tidak disenangi
oleh keluarga namun kejayaannya kini memberi kebang gaan kepada ahli
keluarganya di Kelantan. Pastinya untuk sampai ke tahap sekarang ini memerlukan
usaha gigih yang berterusan dari seorang lelaki muda sepertinya. Semoga Chef KD
berjaya mencapai apa yang dicarinya selama ini.